Laporan: Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun

Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang lawatan ke sebuah kilang yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut. Sediakan laporan itu selengkapnya.

Contoh rangka karangan.

Pendahuluan
Persatuan Kemahiran Hidup mengada lawatan ke kilang sabun
- jumlah peserta dan guru yang terlibat dalam rombongan
- tujuan lawatan; mendedahkan tentang proses membuat sabun
- menambahkan ilmu pengetahuan
- memupuk semangat keusahawanan

Perenggan ke-2  
- bertolak dengan menaiki bas
- tiba di kilang sabun dengan disambut oleh pegawai kilang
- mendengar taklimat

Perenggan ke-3  
- dibawa ke bahagian memproses sabun
- proses dijalan dengan mesin berteknologi tinggi
- pekerja kilang memakai pakaian seragam dan sarung tangan khas
- peserta menyoal pekerja kilang dan dilayan mesra

Perenggan ke-4
- dibawa ke bahagian pembungkusan sabun
- pelbagai jenis sabun sedang diproses
- mesin yang canggih
- diberi jamuan ringan
     
Penutup  
- setiap peserta diberi cenderamata sebelum pulang
- cenderamata kepada pihak kilang sebagai tanda penghargaan
- peserta sangat seronok dan mendapat banyak pengetahuan


*** *** *** *** ***


Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun  

           Pada 23 Januari 2010, Persatuan Kemahiran Hidup Sekolah Kebangsaan Merapoh telah mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang sabun di Kuala Lumpur. 30 orang ahli persatuan dan 3 orang guru pengiring terlibat dalam rombongan tersebut.

           Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang proses membuat sabun. Justeru, akan menambahkan ilmu pengetahuan serta memupuk semangat keusahawanan para pelajar. Peserta bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki bas yang disewa khas. Mereka sampai ke kilang sabun itu pada pukul 9.30 pagi. Ketibaan mereka disambut oleh beberapa orang pegawai kilang. Kemudian, satu taklimat ringkas tentang kilang tersebut disampaikan oleh salah seorang pegawai kilang tersebut.

           Selepas itu para peserta dibawa ke beberapa bahagian memproses sabun. Sebahagian besar kerja memproses sabun ini dilakukan oleh mesin yang berteknologi tinggi. Pekerja-pekerja di kilang tersebut memakai pakaian seragam yang berwarna hijau dan sarung tangan ketika bekerja. Di situ, ramai peserta mengambil kesempatan menyoal beberapa orang pekerja kilang yang sedang bertugas dan mereka dilayan dengan mesra.  
    
            Pada pukul 11.00 pagi, para peserta dibawa ke bahagian pembungkusan sabun. Di situ terdapat pelbagai jenama sabun seperti Lux, Protex dan Okchid dibungkus dengan mesin yang canggih. Kemudian Pada pukul 12.30 tengah hari, semua peserta diberi sedikit jamuan ringan di kantin kilang tersebut.

              Para peserta bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Mereka diberi sebuku sabun setiap seorang sebagai cenderamata oleh pihak kilang. Guru pengiring iaitu Cikgu Aisyah telah menyampaikan cenderamata kepada pengurus kilang sebagai tanda penghargaan. Para peserta dilihat sangat seronok menyertai rombongan ini kerana mendapat banyak pengetahuan serta dapat melihat sendiri cara-cara membuat sabun.

Laporan disediakan oleh,                                                                               25 Januari 2010

                                                                                          
..................................................
(Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi)
Setiausaha,
Persatuan kemahiran Hidup  

***   ***   ***   ***   ***
Terima kasih. Contoh laporan ini telah disalin oleh Adik Syamsul  dan Hasif Zakwan dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada Februari 2011.

Laporan: Laporan Temasya Sukan Ke-10 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang


Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang temasya sukan tahunan yang dijalankan di sekolah kamu. Sediakan laporan itu selengkapnya.

Contoh Rangka Karangan :

Pendahuluan
- temasya sukan kali yang ke-10
- diadakan di padang sekolah

Perenggan ke-2
- sehari sebelum; gotong-royong untuk kerja-kerja persiapan terakhir
- khemah didirikan dan dihias
- papan markah dipasang
- bendera-bendera dikibarkan

Perenggan ke-3
- cuaca pagi temasya sangat baik
- penonton memenuhi ruang tempat duduk
- tuan pegawai daerah tiba dan disambut oleh Guru Besar
- dimulakan dengan perbarisan lintas hormat
- merasmikan temasya

Perenggan ke-4
- acara sukan dilangsungkan
- berjalan lancar dan teratur
- rehat pada pukul 10.00 pagi sebelum disambung semula
-  larian 400 meter menjadi acara kemuncak
- acara selesai; penyampaian hadiah dilakukan oleh pegawai pendidikan daerah
-      
Penutup  
- rumah kuning johan keseluruhan
- temasya tamat
- hadirin menghadiri jamuan di kantin sebelum bersurai

** ** ** ** ** **


Laporan Temasya Sukan Ke-10 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

Pada 14 Mac 2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan termasya sukan yang ke-10. Termasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.30 pagi.

Sehari sebelum temasya itu dimulakan, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Beberapa orang pekerja sekolah, guru dan murid berganding bahu meyiapkan kerja-kerja tersebut. Papan mencatat markah rumah-rumah sukan diletakkan di tengah-tengah padang. Manakala, bendera rumah sukan, bendera Negeri Pahang dan Jalur Gemilang dikibarkan di bahagian depan astaka.

Keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua hadirin termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di sebelah astaka. Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh yang tiba kira-kira pukul 8.10 pagi disambut oleh Guru Besar sekolah iaitu Encik Awang Satip bin Mat Salleh serta Pengerusi PIBG. Acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian. Pegawai Pendidikan Daerah menerima tabik hormat dan seterusnya merasmikan sukan tersebut.

Selepas upacara perasmian dilakukan, acara sukan pun dilangsungkan. Acara-acara yang dijalankan berjalan lancar dan teratur. Acara sukan berhenti untuk rehat pada pukul 10.00 pagi dan disambung semula setengah jam kemudian. Acara lari 4 X 100 meter menjadi acara kemuncak sukan pada hari itu. Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua acara tamat. Seterusnya, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pula dijalankan. Hadiah disampaikan oleh Tuan Pegawai Pendidikan Daerah dengan diiringi oleh Tuan Guru Besar.

Pasukan yang menjadi juara pada kejohanan sukan ke-10 ini ialah pasukan Rumah Kuning. Temasya sukan ini tamat kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari. Sebelum bersurai, semua hadirin dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan di kantin.


Laporan disediakan oleh,                                                                                     16 Mac 2010


..............................................................
(Nur Rafhanah Izzah binti Ahmad Zaidee)


*** *** *** *** ***





Terima kasih. Contoh laporan ini telah disalin oleh Adik Jamilah dan Rafhanah Izzah dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada Februari 2011.

Laporan: Laporan Tahunan Kelab Alam Sekitar


Kamu sebagai Setiausaha Kelab Alam Sekitar diminta menyediakan laporan tahunan persatuan tersebut. Tuliskan laporan kamu selengkapnya.

*** *** *** *** ***

Laporan Tahunan Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Tualang, 2010

Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah ditubuhkan pada tahun 2008. Sehingga hari ini seramai 45 orang ahli berjaya didaftarkan yang terdiri daripada murid-murid Tahap Dua. Sepanjang penggal pertama persekolahan tahun 2010, kelab ini telah mengadakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan dan mencantikkan kawasan sekolah. Kawasan yang terlibat ialah padang, taman sains dan bilik darjah.

Pada penggal kedua pula, kelab ini telah mengadakan "Kempen Kitar Semula". Kempen ini bertujuan mengumpulkan sebanyak mungkin barang-barang terpakai seperti botol-botol kaca, barang-barang plastik, surat khabar dan lain-lain untuk dikitar semula. Selain dapat memelihara alam sekitar, aktiviti ini juga telah menambahkan tabungan kelab hasil jualan barang-barang terpakai tersebut kepada kedai kitar semula. Kempen ini telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Tualang.

Pada 16 Jun 2010, Kelab ini telah mengadakan lawatan sambil belajar ke pusat kitar semula di Shah Alam. tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan ahli kelab tentang bagaimana menguruskan barang terpakai untuk dikitar semula. 

Manakala pada 18 Ogos 2010, kelab ini telah mengadakan pertandingan reka cipta dengan mengunakan bahan-bahan terbuang. Pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat kreativiti murid-murid dalam menghasilkan sesuatu ciptaan daripada barang-barang tersebut. Pertandingan ini telah mendapat sambutan hangat daripada ahli-ahli kelab serta para pelajar.

Semua ahli kelab berharap kelab ini akan lebih aktif pada masa hadapan. Jika sekiranya ahli-ahli kelab menghadapi sebarang masalah, mereka diharap segera mengemukakan masalah itu untuk dibincangkan dan diselesaikan bersama-sama dengan guru penasihat dan ahli jawatan kuasa Kelab Alam Sekitar.


Laporan disediakan oleh,                                                                         15 Disember 2010


.................................................
(Ahmad Naim Safwan bin Sufian)
Setiasaha,
Kelab Alam Sekitar.
Sekolah Kebangsaan Seri Tualang


*** *** *** *** *** 



Terima kasih. Contoh laporan ini telah disalin oleh Adik Husain dan Naim dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada Februari 2011.

Laporan: Laporan Bulan Merdeka 2010

Laporan Bulan Merdeka 2010 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

            Pada 1 hingga 30 Ogos  2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan Bulan Merdeka. Tujuan bulan ini diadakan adalah untuk menanamkan rasa kecintaan murid-murid kepada negara.

            Pada minggu pertama, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan aktiviti mewarnakan bendera Jalur Gemilang. Murid-murid Tahap Satu dan Tahap Dua telah menyertai aktiviti ini. Bendera yang siap diwarnakan dipasang atau digantung di beberapa tempat seperti di pagar sekolah. Sekolah Kebangsaan Seri Tualang kelihatan lebih ceria dengan dihiasi bendera-bendera Jalur Gemilang ini.

            Pada minggu kedua, pementasan drama telah diadakan. Drama ini bertajuk ‘Warga Merdeka’. Drama ini dicipta dan diarahkan oleh Cikgu Hamidi Wahid. Drama ini telah melahirkan perasaan cinta pelajar kepada negara.

             Pada minggu ketiga, satu pameran tentang tokoh-tokoh telah diadakan di perpustakaan sekolah. Antara wajah perjuang negara yang dipamerkan ialah Tunku Abdul Rahman, Dato’ Hussien Onn, Dr. Burhanudin bin Helmi dan lain-lain lagi.

             Pada minggu keempat, Larian Merdeka telah diadakan. Larian ini sejauh 3 kilometer. Murid-murid berlari sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan kalimat keramat 'Merdeka!'.

             Murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Tualang berasa sangat gembira kerana dapat menjayakan Bulan Merdeka. Sesungguhnya Bulan Merdeka yang diadakan telah dapat melahirkan atau menambahkan rasa cinta murid-murid kepada negara.

Laporan disediakan oleh,                                                                                       2 September 2010


.....................................
(NUR ANIS NATASYA BINTI ALWI)

********************************************* 





Terima kasih. Contoh laporan ini telah disalin oleh Adik Anis Natasya dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada Februari 2011.

Surat Kiriman Tidak Rasmi: Persediaan menghadapi UPSR

Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

                                                                                                         No. 74, Taman Seri Merapoh,
                                                                                                         27210 Merapoh,
                                                                                                         Kuala Lipis,
                                                                                                         Pahang. Darul Makmur.

                                                                                                         26 Januari 2011

               Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

               Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

              Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan segera bertanya guru supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya.

              Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

               Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

              Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.

              Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.

                                                                                                             Sahabatmu,


                                                                                                             .............................
                                                                                                             (Khairi bin Zaideen )

Surat Kiriman Tidak Rasmi: Memenuhi masa lapang

Andaikan bahawa anda baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan UPSR. Abang anda yang belajar di luar negara mengirimkan surat kepada anda dan bertanya perkara yang anda sedang lakukan kini. Balas surat abang anda.



***   ***   ***   ***   ***

                                                                                                                 No. 74, RPS Merapoh,
                                                                                                                 28000 Merapoh,
                                                                                                                 Pahang. Darul Makmur.

                                                                                                                6 Februari 2011

            Assalamualaikum. Menemui kakandaku yang kini berada di Universiti Azhar semoga dalam keadaan sihat sejahtera.

Kakanda yang dikasihi,

             Apa khabar kakanda sekarang? Adinda berharap agar kakanda sihat hendaknya. Adinda serta keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

             Surat kakanda telahpun adinda terima pada 31 Januari 2011 yang lalu. Adinda bersyukur kerana peperiksaan UPSR telah selesai. Alhamdulillah semua soalan yang dikemukan dapat adinda jawab dengan mudah. Sekarang ini adinda sedang menanti keputusannya dengan penuh debaran. Adinda berharap dan berdoa akan mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan tersebut. Diharap kakanda juga demikian, selalu mendoakan adinda agar berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan itu nanti.

Sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan, adinda menghabiskan masa dengan membaca pelbagai buku terutamanya novel yang dipinjam dari perpustakaan sekolah atau daripada rakan-rakan yang ingin bertukar-tukar buku bacaan. Adinda ingin menggunakan masa yang banyak terluang ini dengan menambahkan ilmu pengetahuan.

Pada hujung minggu nanti, adinda akan mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur. Adinda akan melawat Zoo Negara, Petrosains, Planetarium dan Masjid Negara. Dengan melawat ke tempat-tempat tersebut, adinda berharap akan dapat memberi pengalaman yang berguna, di samping menikmati pemandangan yang indah di sepanjang lawatan tersebut.

Bilakah kakanda akan pulang ke kampung? Adinda dan keluarga di sini amat rindu akan kakanda. Adinda berharap kakanda dapat pulang dengan segera.

Setakat inilah sahaja yang dapat adinda coretkan buat tatapan kakanda. Sambutlah salam sayang daripada adinda dan keluarga.

                                                                                                                        Adindamu,                                                                                                   
                                                                                                                     HasifZakwan.
                                                                                                 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu"